CERITA
JENAKA
1.0 Definisi
- Sejenis cerita rakyat di dalam sastera lisan /
sastera rakyat
- Cerita yang mengandungi unsur humor atau lucu
- Cerita yang membawa kesan yang menggembirakan dan
gelihati kerana kelucuan
- Unsur lucu dibawa melalui sifat watak-watak geli
lucu, gelihati seterusnya membawa rasa gembira dan terhibur.
2.0 Jenis-Jenis Cerita Jenaka
2.1 Cerita Jenaka Tempatan:
Iaitu cerita jenaka
yang lebih berorientasikan soal-soal yang berkaitan dengan isu tempatan dari
segi watak, latar, persoalan dan sebagainya.
Contoh:
Cerita Pak Pandir,
Cerita Lebai Malang, Cerita Pak Kaduk, Cerita Pak Belalang dan Cerita Si
Luncai.
2.2 Cerita Jenaka Pengaruh Asing / Luar:
Iaitu cerita yang
mendapat pengaruh terutama Hindu dan Islam (Arab Parsi) kerana masyarakat
Melayu pernah menerima pengaruh-pengaruh tersebut.
Contoh:
Cerita Mat Jenin (
Hindu ), Cerita Abu Nawas dan Cerita Musang Berjanggut (Islam )
3.0 Ciri-Ciri Cerita Jenaka
3.1 Dari segi watak dan perwatakan:
Watak utama dalam
cerita jenaka adalah dari kalangan rakyat bawahan yang diberi peranan ysng
boleh melahirkan kelucuan. Terdapat juga watak dari kalangan istana atau raja
tetapi sebagai watak sampingan sahaja.
Sifat-sifat watak lucu
dalam cerita jenaka dibahagikan kepada 3 golongan iaitu:
(i) Watak bodoh-sial –
cerita Lebai Malang dan Pak Kaduk
(ii) Watak pintar-bodoh
– cerita Pak Pandir
(iii) Watak pintar –
cerita Pak Belalang dan Si Luncai
Kelucuan cerita jenaka
dilahirkan dari sifat dan tindakan atau perlakuan yang dilakukan oleh watak itu
sendiri. Nama watak melambangkan sifat-sifat watak. Contohnya watak
bodoh-pintar seperti watak Pak Pandir, watak bodoh-sial seperti Lebai Malang
dan Pak Kaduk, serta watak pintar seperti Si Luncai dan Pak Belalang.
Contoh:
(i) Sifat terlalu bodoh
hingga mendatangkan bencana melakukan kesilapan kerana kebodohan tetapi
melucukan. Contohnya cerita Lebai Malang, unsur lucu timbul daripada sifat
bodoh-sialnya. Beliau tidak dapat memilih tempat majlis kenduri yang mana harus
dihadiri terlebih dulu kerana ingin menghadiri ketiga-tiga tempat tersebut
akibat sifat tamak dan haloba. Kelucuan bertambah apabila lempengnya digonggong
oleh anjing.
(ii) Sifat terlalu
pintar dan bijaksana. Tindakan watak itu tidak dapat kita jangkakan, mungkin
secara sengaja tetapi amat melucukan. Contoh Si Luncai berjaya menipu saudagar
Keling dengan mengatakan ia dimasukkan ke dalam guni sebab enggan berkahwin
dengan puteri raja. Akhirnya saudagar itu mengambil tempatnya di dalam guni.
3.2 Dari segi plot cerita:
Plot cerita jenaka
bersifat sederhana, mudah, lurus, kronologi dan tidak berbelit-belit. Cerita
atau peristiwa lebih tertumpu kepada watak utama sahaja. Dalam satu-satu cerita
jenaka terdapat episod-episod kecil dan berasingan tetapi dapat berdiri sendiri
sebagai sebuah cerita. Dalam jalinan plotnya dimasukkan unsur-unsur ketegangan
/ konflik, klimaks serta penyelesaian cerita berakhir dengan ‘happy-ending’
atau ‘tragic-ending’.
3.3 Dari segi latar:
Latar tempat cerita
jenaka berlaku di alam nyata, tetapi tidak dapat dipastikan dimanakah tempat
yang sebenar. Cerita berlaku di kawasan pedalaman / kampung di pinggir hutan
dan sebagainya. Latar masyarakatnya menggambarkan corak hidup masyarakat Melayu
tradisional terutama masyarakat bawahan seperti petani, penternak dan nelayan. Manakala
latar masanya pula cerita berlaku pada zaman silam atau lampau iaitu suatu masa
yang tidak dapat dipastikan bilakah berlakunya cerita tersebut.
3.4 Dari segi tema:
Tema cerita jenaka
adalah mengenai watak / pelaku dalam cerita yang pintar dan bodoh yang boleh
menimbulkan kelucuan yang mencuit hati khalayak. Melalui watak pintar kita
dapat lihat tipu muslihat watak apabila menghadapi kepayahan atau masalah.
Manakala melalui watak bodoh kita dapat lihat perlakuan yang lurus, bodoh serta
jahil. Watak-watak pintar ialah Pak Belalang, Si Luncai dan kadang-kadang Pak
Pandir. Manakala watak-watak bodoh terdiri daripada Pak Pandir, Pak Kaduk dan
Lebai Malang.
3.5 Dari segi bentuk:
Cerita jenaka berbentuk
naratif / cerita yang memaparkan cerita tentang sifat dan peranan watak utama
yang dapat menimbulkan kelucuan kepada khalayak. Cerita atau kelucuan tersebut
lahir melalui watak bodoh-pintar seperti Pak Pandir, watak bodoh-sial-malang
seperti Pak Kaduk dan Lebai Malang serta watak pintar seperti Pak Belalang dan
Si Luncai.
3.6 Dari segi penggunaan gaya bahasa:
Cerita jenaka
menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami. Penggunaan bahasanya ialah bahasa
Melayu klasik atau bahasa pertuturan harian. Terdapat juga penggunaan bahasa
Arab dan bahasa istana. Terdapat juga penggunaan bahasa berirama yang bertujuan
menghiburkan khalayak, misalnya dalam cerita Pak Pandir, Lebai Malang dan Pak
Kaduk.
4.0 Fungsi Cerita Jenaka
4.1 Sebagai hiburan
berupaya memberi
ketenangan fikiran dan merehatkan. Unsur lucu pada sifat watak dan peristiwa
lucu pada watak utama membawa kesan menggelikan hati dan gembira.
Contoh :
(a) Gambaran fizikal
watak dapat dilihat pada Si Luncai “ Perutnya besar, punggungnya tonggek dan
apabila berjalan menjemur dada”
(b) Gambaran sifat-sifat
watak yang melucukan – Pak Pandir membawa balik seekor kambing jantan kerana
disuruh memanggil lebai untuk majlis kenduri.
4.2 Sebagai alat Pengajaran & Pendidikan
Dalam cerita-cerita
jenaka terselit unsur pengajaran yang boleh dijadikan panduan oleh khalayak.
Unsur nasihat dan pengajaran jelas tergambar dalam cerita jenaka seperti
larangan berjudi, jangan suka berangan-angan, jangan percaya kepada ramalan
nujum dan sebagainya.
Contoh:
a. Seorang yang bodoh
dan lurus selalu ditipu oleh orang lain . Contoh : Pak Kaduk diajak bertukar
ayam dengan raja
b. Jangan terlalu
percaya kepada nujum. Setengah-tengahnya hanya tipu helah sahaja. Contoh, Pak
Belalang menunjukkan kerbau yang hilang kepada orang kampong
c. Jangan terlalu
mengikut hati yang marah. Akhirnya kita juga yang menyesal. Contohnya, Pak
Kaduk yang marah isterinya menyindir, memukul isterinya hingga mati
d. Jangan terlalu tamak
. Contohnya Pak Kaduk dan Lebai Malang yang menghadiri kenduri.
e. Jangan amalkan
perbuatan berjudi atau bertaruh dengan harta benda, Amalan ini akan membawa
kepada kemusnahan dan kepapaan. Contohnya, dalam cerita Pak Belalang , nakhoda
kehilangan kapal dan hartanya kerana dipertaruhkan dengan raja.
4.3 Sebagai alat kritikan
1. Mengkritik golongan
yang tidak tetap pendirian kerana didorong oleh sikap tamak akan mengalami
kerugian atau bernasib malang.
Contoh:
Golongan lebai
(golongan agama) yang tamak sehingga tidak tetap pendiriannya – akan mengalami
kerugian dan akan bernasib malang. Contohnya, Lebai Malang dalam cerita Lebai
Malang, yang menerima jemputan di tiga tempat, kenduri kematian, kenduri khatam
Quran dan kenduri maulud. Akibat tamak Lebai Malang gagal menentukan tempat
mana yang harus didahulukan yang akhirnya semua tempat telah selesai acaranya
ketika dia sampai.
2. Mengkritik golongan
yang bergantung kepada kemujuran nasib dan secara kebetulan semata-mata yanpa
kebijaksanaan akal fikiran dan ilmu pengetahuan tidak akan menjamin kebahagiaan
hidup.
Contoh:
Dalam cerita Pak
Belalang, Pak Belalang pada mulanya mendapat hadiah dan kemewahan setelah
berjaya menujum atau meneka jantan betina anak itik, hujung dan pangkal kayu
dan meneka benda yang berada dalam genggaman raja. Semua kejayaan tersebut
adalah secara kebetulan atau kemujuran nasib dan melalui peranan anaknya
Belalang. Akhirnya Pak Belalang terpaksa membakar rumahnya sendiri, sebagai
alasan kepada raja yang alat-alat tilikan dan nujumnya telah musnah.
3. Mengkritik golongan
pemerintah yang menggunakan kuasa dan kedudukan untuk melakukan penindasan dan
penipuan terhadap rakyat bawahan yang miskin dan bodoh.
Contoh:
Dalam cerita Pak Kaduk.
Pak Kaduk menyabung ayam dengan ayam raja. Sebelum ayam disabungkan raja telah
membuat muslihat dengan menukar ayam baginda dengan ayam Pak Kaduk. Pak Kaduk
telah menggadaikan kampungnya kepada raja untuk meminjam wang sebanyak 50 rial
sebagai wang pertaruhan. Akhirnya ayam raja menang melalui tipu muslihatnya dan
Pak Kaduk tergadai kampungnya akibat kekalahan tersebut.
4. Mengkritik golongan
yang hanya berangan-angan tanpa berusaha tidak akan berjaya mencapai kejayaan.
Contoh:
Dalam cerita Mat Jenin.
Mat Jenin bekerja mengambil upah memetik buah kelapa. Semasa memanjat, Mat
Jenin berangan-angan hasil petikan kelapa akan dijual, wangnya akan dibelikan
binatang ternakan seperti ayam, kambing, lembu dan kuda. Apabila banyak wang
dan harta terkumpul, Mat Jenin berangan-angan mengahwini anak raja. Ketika
berangan-angan itu, Mat Jenin terjatuh dari pokok kelapa sebelum memetik
buahnya dan mati.
5. Mengkritik golongan
pemerintah / atasan yang pada ketika tertentu akan dapat diatasi atau
diperdayakan oleh rakyat bawahan.
Contoh:
Dalam Cerita Si Luncai.
Si Luncai menyindir dan mengkritik kezaliman raja. Dikatakannya dia adalah
malaikat Si Luncai yang dibunuh oleh raja. Dia dapat menemui ayah bonda raja di
akhirat yang marah terhadap tindakan raja tersebut. Dengan tipu muslihat Si
Luncai, raja bersetuju menemui ayah bondanya. Akhirnya Si Luncai menjadi raja
dan berkahwin dengan puteri raja.
6. Mengkritik golongan
manusia yang suka melakukan kerja-kerja tidak berfaedah , membuang masa,
melalaikan dan merugikan serta membawa kepada keruntuhan moral. Misalnya Pak
Kaduk hidup berjudi, menyabung ayam, akhirnya menang sorak, kampungnya
tergadai.
No comments:
Post a Comment