1.0 Pengenalan
Sejarah telah membuktikan betapa sesungguhnya corak hidup
masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama
seperti pantun dan peribahasa. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu
Mengarang Melayu (1965), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan
puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Oleh itu, umum telah
menerima bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah
adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun
merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal
muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989).
Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam semulajadi
seperti alam tumbuhan, haiwan dan cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat
pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling
mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun
Mat Piah (1989) menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang dan simbol-simbol
daripada alam perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Lantaran itulah
pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan
yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat.
Pantun
sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud
sejak zaman berzaman lagi. Mengikut sejarah, pantun wujud sejak zaman
masyarakat Melayu tidak tahu membaca dan menulis lagi. Pantun dicipta sebagai
suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap
seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk
menyindir, berjenaka dan memberi nasihat serta untuk bersuka-suka.
Pantun merupakan bentuk puisi tradisional yang terdiri
daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a,b,a,b
dengan beberapa variasi dan pengecualian. Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada
dua iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud. Setiap rangkap tidak dapat
berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa
rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.
Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun
berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek
dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur
estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan
dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut
tanggapan dan pandangan dunia masyarakat melayu. Kedua, berdasarkan hunbungan
makna antara pasangan pembayang-pembayang dengan pasangan maksud sama ada
secara konkrit atau abstrak. Menurut Za'ba pula, ialah kaedah rangkapan yang
tertua dan asalnya kepunyaan masyarakat Melayu. Sebelum orang Melayu tahu
tentang surat-menyurat, mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas
pantun sesama sendiri.
Secara ringkas, pantun dapat didefinisikan sebagai
sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap
(Kamus Dewan edisi keempat) atau sajak pendek. Setiap rangkap biasanya empat
baris dan dua baris. Bagi pantun yang popular, bentuknya terdiri daripada empat
baris iaitu, dua baris pembayang dan dua baris maksud
2.0 Nilai dan Pantun
2.1 Nilai:
Budi pekerti
Seseorang yang berbudi ialah seorang yang membuat jasa
dan berjasa kepada orang yang menerima budi baktinya. Begitu juga budi
yang baik begitu tinggi nilai estetikanya ibarat emas dan oleh sebab tidak
ternilai inilah budi itu dikenang sehingga dibawa mati. Namun begitu, oleh
sebab terlalu menerima budi, seseorang itu seharusnya tidak termakan
budi sehingga ia berjiwa hamba, terikat kepada orang yang telah banyak
menabur budi, terlalu mudah tidak tahu berkata tidak dan tidak tahu batas
dan sempadan. Berikut merupakan contoh pantun budi yang menzahirkan penghargaan
dan ucapan terima kasih :
Pisang emas di bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Berdasarkan pada pantun di atas, dapat dilihat secara luas tentang nilai budi
yang berlaku terhadap masyarakat kita pada zaman dahulu kala. Hutang emas
walaupun banyak dan melimpah ruah dapat juga dijelaskan walaupun secara
beransur-ansur sehinggalah jumlah hutang itu mengecil dan selesai dibayar.
Keadaan ini berbeza dengan budi, hutang budi seseorang manusia tidak dapat
dinilai dengan emas atau intan berlian hatta permata sekalipun. Kesudahannya,
hutang budi tidak dapat dibayar sehingga kita meninggal dunia sekali pun.
Budi pula tidak terhad kepada pemberian sesuatu benda sahaja bahkan tenaga dan
bahasa yang lemah lembut itu juga dianggap sebagai budi yang tidak ada nilai
komersilnya. Budi yang dizahirkan ini akan dikenang oleh orang yang
menerimanya. Misalnya sekiranya kita menyelamatkan nyawa seseorang daripada
menimpa kecelakaan atau kemalangan terutama yang melibatkan nyawa, maka budi
kita akan diingati selamanya selagi hayat dikandung badan. Nilai keluhuran budi
itu lebih memberi kesan kepada penerimanya sekiranya kita mengambil contoh
pemberian sedekah, bantuan berbentuk wang tunai atau kerja buat, cederahati
kenang-kenangan kepada orang-orang miskin atau mereka yang memerlukan dalam
meringankan beban kerja atau kos sara hidup yang perlu ditanggung dalam meniti
kehidupan di dunia ini disebabkan faktor kesempitan hidup, masalah kesihatan
dan tidak berpendidikan.
2.2 Nilai: Kejujuran
Sifat jujur amat penting dalam setiap perbuatan agar
tidak dimurkai oleh masyarakat. Jujur adalah sebuah kata yang telah dikenal
oleh hampir semua orang. Kajian tentang sikap jujur berada dalam domain
Psikologi Sosial. Bagi yang telah mengenal kata jujur mungkin sudah tahu apa
itu arti atau makna dari kata jujur tersebut. Dengan memahami makna kata jujur
ini maka mereka akan dapat memberi makna sebagai tindakan secara baik.
Berikut ini saya akan mencoba memberikan penjelasan sebatas kemampuan
saya tentang makna dari kata jujur ini.
Kata jujur ialah kata yang digunakan
untuk menyatakan sikap seseorang.
Jika ada seseorang berhadapan dengan sesuatu atau fenomena maka
orang itu akan memperoleh gambaran tentang sesuatu atau
fenomena tersebut. Jika orang itu menceritakan informasi
tentang gambaran tersebut kepada orang lain tanpa ada “perubahan”
(sesuai dengan realitisnya) maka sikap yang seperti itulah yang disebut
dengan jujur.
Pergi berburu sampai ke sempadan,
Dapat kancil badan berjalur;
Biar carik baju di badan,
Asalkan hati bersih dan jujur.
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat bertapa
tingginya sebuah nilai kejujuran dalam setiap diri individu. Niat yang baik
datangnya daripada hati yang jujur dan ikhlas. Meskipun kita sering di
pertikaikan dalam hal amanah yang pikul, hendaklah kita melihat kembali nilai
baik buruknya sesuatu perbuatan yang dilakukan seperti yang di atas biar carik
baju di badan, asalkan hati bersih dan jujur. Dengan itu, dalam apapun dugaan
kehidupan ini, sehingga jalan kita buntu tapi setiap kejujuran itu pasti akan
menghasilkan sebuah perbuatan yang mulia bagi diri kita serta masyarakat yang
lain.
2.3 Nilai:
Kesungguhan
Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Ku tuntut ilmu bersungguh-sungguh,
Akan bekalan hari kemudian.
Berdasarkan pantun diatas, dapat dilihat bahawa nasihat
untuk bersungguh-sungguh khususnya para pelajar supaya menuntut ilmu secara
bersungguh-sungguh, supaya tidak menyesal hari kemudian. Kelebihan ilmu, jelas
membawa mesej menuntut ilmu dan kepentingan ilmu merupakan pegangan dan panduan
dalam hidup yang membawa kebajikan dunia dan akhirat. Dengan itu, jelaslah
nasihat di atas ini menyatakan bahawa menuntut ilmu itu biarlah
bersungguh-sungguh, akan bekalan hari kemudian. Peredaran moden kini menuntut
kita untuk mencari ilmu sebanyak mungkin. Persaingan demi persaingan membawa
satu cabaran baru pada masa yang akan datang.
Ilmu di
dada tidak mungkin sia-sia. Setiap nasihat dan pengajaran bagi setiap pantun
membawa nilai bagi setiap individu untuk memperbaiki diri sendiri. Tingkat
kehidupan ini memerlukan satu perubahan demi perubahan agar individu itu
mencapai satu tahap modal insan yang berkualiti.
3.0 Kesimpulan
Sejak daripada zaman purba lagi pantun telah wujud dalam
kehidupan masyarakat Melayu. Pantun ialah puisi tradisional Melayu
turun-temurun yang tertua di dalam budaya Melayu. Pantun berbeza berbanding
dengan syair, gurindam, seloka, rubai, ghazal dan sebagainya kerana mempunyai
kedudukan tersendiri sebagai alat untuk menyatakan hajat, pembayang niat, bunga
istiadat, pembuka kata, penamat bicara, pengucapan rindu dagang yang merantau.
Karya klasik Melayu ini mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Di sebalik
nilai tersebut terdapat pula maksud yang tersirat atau abstrak dan memerlukan
kajian yang mendalam untuk memahami maksud di sebaliknya. Sebagai generasi
baru, kita hendaklah sentiasa melakukan kajian tersebut agar nilai-nilai yang
terdapat dalam karya klasik Melayu tidak pupus di telan zaman.
Pengaruh pantun dalam masyarakat melayu sangat luas kerana telah dijadikan
sebagai alat berkomunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat seperti
sanjungan, pemujaan dan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada
seseorang dalam sesuatu keadaan, upacara. Pantun mampu supaya mereka mampu
memperbaiki diri dan berubah ke arah yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment